Memperkasa kegiatan MPK Lumut II



​​

Berita dan Foto : Ak. Mohd. Zaki Pg. Haji Kasharan







LUMUT, Ahad, 16 November. - Bersempena Pesta Pantai Lumut 2025 anjuran Majlis Perundingan Kampung (MPK) Lumut II dengan kerjasama MPK Lumut I, MPK Sungai Liang, MPK Perumahan Negara Lumut Kawasan 1, Kawasan 2, dan Kawasan 3 yang berlangsung selama tiga hari di Pantai Peranginan Lumut sejak 14 November 2025 lepas, hari ini diadakan Aktiviti Berjalan Kaki di sekitar pantai berkenaan.


Hadir selaku tetamu kehormat majlis pada acara berkenaan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof.


Turut hadir, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Haji Md. Salleh bin Haji Othman, juga Penghulu Mukim Bukit Sawat, Daerah Belait; dan Yang Berhormat Awang Mohammad bin Abdullah @ Lim Swee Ann, juga Ketua Kampung Bukit Sawat, Daerah Belait; Penolong Pegawai Daerah Belait, Awang Muhammad Faiq bin Haji Rani; Penghulu Mukim dan Ketua Kampung dari seluruh Daerah Belait, serta Ahli MPK.


Acara dimulakan dengan sesi senamrobik, diikuti dengan acara berjalan kaki sejauh empat kilometer yang bermula dan berakhir di Pantai Peranginan Lumut yang turut disertai oleh tetamu kehormat majlis.


Acara kemudiannya turut dimeriahkan dengan persembahan Mini Tatu oleh Pasukan Sarunai dan Tambur Batalion Ketiga Tentera Darat Diraja Brunei, diikuti dengan persembahan daripada Kelab Mukun Selindang Sutera.


Tetamu kehormat majlis juga dibawa melawat ke kawasan perkhemahan dan gerai jualan yang diadakan bersempena pesta pantai berkenaan.


Antara lain tujuan acara berkenaan diadakan adalah bagi memperkasa kegiatan MPK Lumut II dan pada masa yang sama membantu memeriahkan lagi suasana kampung dengan pelbagai permainan, aktiviti dan persembahan yang menarik.


Selain itu, ia juga dihasrat dapat menghiburkan para penduduk sekitarnya dan orang yang datang dari luar kampung untuk meluangkan masa dengan rakan dan keluarga sambil menikmati pemandangan pantai yang menenangkan.


Sepanjang tiga hari pesta pantai berkenaan diadakan, aktiviti berkhemah yang diadakan turut mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai termasuk dari Sabah dan Sarawak.


Close